Teknik

TEKNIK MENJAWAB BM BAHAGIAN A DAN C PENULISAN





TEKNIK MENJAWAB BAHAGIAN A, B DAN C PENULISAN

Setiap guru Bahasa Melayu perlu tahu cara yang betul mengajar Bahasa Melayu Penulisan. Link di bawah diharap dapat membantu guru-guru melakukan pengajaran berkesan. Selamat mencuba!


TEKNIK MEMBINA AYAT (BAHAGIAN A)


Selamat sejahtera,
Cikgu sering mengikuti bengkel yang dianjurkan oleh PPD Gombak. Salah satu maklumat yang ingin cikgu kongsikan bersama ialah Teknik Membina Ayat menggunakan Teknik SALAM. Teknik ini sesuai digunakan untuk murid-murid cemerlang. Bagi murid-murid lemah cikgu akan gunakan Teknik SAM. Mari cikgu tunjukkan.


TEKNIK SALAM


S   - Siapa
A  - Aktiviti
L  - Lokasi
A  - Alat
M - Mengapa

 Contoh ayat:

  • Dua orang murid perempuan mengelap cermin tingkap di dalam kelas menggunakan span agar kelihatan bersih.

Siapa        -  dua orang murid perempuan
Aktiviti     -  mengelap cermin tingkap
Lokasi      -  di dalam kelas
Alat          -  menggunakan span
Mengapa  -  agar kelihatan bersih



 TEKNIK SAM


S - Siapa
A - Aktiviti
M - Mana

Contoh ayat:


  • Ali dan Abu makan di kantin.

Siapa        - Ali dan Abu
Aktiviti    - makan
Mana       - di kantin



TEKNIK MEMBINA ULASAN (BHG C)


Selamat sejahtera,
Hari ini cikgu ingin berkongsi bersama murid-murid bagaimana membina ulasan untuk Bahagian C. Di sini cikgu gunakan TEKNIK KITA NILAI PERBUATAN (KNP).

Contoh ;
     Semasa berada di bahu jalan, Fauzan ternampak seorang buta ingin melintas jalan. Fauzan kasihan melihat orang buta itu. Diapun memimpin lelaki itu menyeberang jalan. Fauzan menggunakan lintasan pejalan kaki semasa melintas.


KITA
NILAI
PERBUATAN
(ambil dari dalam petikan)
Kita hendaklah
baik hati
dengan menolong orang buta melintas jalan.

Kita mestilah
mematuhi peraturan jalan raya
dengan menggunakan lintasan pejalan kaki semasa melintas.




PANDUAN MENJAWAB BAHAGIAN C


Sahabatku Fazil.

         Tujuan saya menulis warkah ini adalah untuk menceritakan pengalaman saya menyertai lawatan ke Pulau Langkawi anjuran Kelab Kajian Tempatan sekolah saya.

          Kami memperoleh ilmu pengetahuan yang banyak. Setiap detik yang dilalui, kami manfaatkan dengan mengunjungi pelbagai tempat bersejarah seperti Beras Terbakar, Makam Mahsuri dan Pantai Pasir Hitam. Ketika menaiki Kereta Kabel Langkawi menuju ke puncak Gunung Machinchang, kami kagum akan keindahan alam semula jadi. Cuacanya sejuk manakala udaranya segar dan nyaman.

          Semasa di Pantai Cenang, kami meminta kebenaran untuk mandi tetapi Cikgu Nizam melarang kami kerana ombak besar. Kami akur akan nasihat guru tersebut. Lawatan seterusnya ke “Underwater World” iaitu tempat pelbagai jenis hidupan air dipamerkan. Kami berbaris sebelum masuk untuk mengelakkan kesesakan.

          Sebelum pulang kami singgah di pekan Kuah untuk membeli-belah. Saya hanya membeli barang-barang yang perlu sahaja kerana itulah dipesan oleh ibu. Saya juga membeli cenderamata untuk kawan-kawan dan keluarga.


Jawapan contoh.
          Nilai yang saya dapati daripada petikan ini ialah kita mestilah prihatin terhadap kawan-kawan dan keluarga seperti membeli cenderahati. Selain itu, kita harus menghargai masa dengan melawat ke tempat-tempat yang bersejarah. Seterusnya, kita hendaklah menghormati guru seperti mendengar nasihat guru. Di samping itu, kita perlu berdisiplin dengan beratur sebelum memasuki sesuatu tempat. Akhir sekali, kita patut berjimat menggunakan wang dengan membeli barang yang perlu sahaja.



PANDUAN MENULIS KARANGAN


Hari ini cikgu ingin berkongsi tips bagaimana untuk menulis karangan. Pastikan apabila murid-murid menulis karangan gunakan ayat-ayat yang mudah, ringkas dan padat agar maklumat yang disampaikan mudah difahami.

Langkah 1 : Memahami kehendak soalan.

  • Baca dan fahami keseluruhan soalan.
  • Cari dan gariskan kata kunci.
  • Kenal pasti kehendak soalan, jenis soalan dan format karangan.
    Langkah 2 : Merangka karangan

    • Pilih mana-mana kaedah merangka karangan (peta minda).
    • Susun semua isi secara ringkas berdasarkan kehendak soalan.

    Langkah 3 : Menulis karangan


    • Tulis karangan berdasarkan rangka isi yang telah dibuat.
    • Semasa mengarang, tulis ayat-ayat yang betul strukturnya.
    • Masukkan kosa kata yang menarik dan simpulan bahasa yang sesuai.
    • Cuba kembangkan idea dengan sebaik mungkin dalam beberapa baris ayat.

    Langkah 4 : Menyemak karangan
    • Selepas menulis karangan,semak penggunaan kosa kata, tanda baca, imbuhan, struktur ayat dan ejaan. 
    • Buat pembetulan jika ada kesalahan. 


    PANDUAN MENJAWAB BAHAGIAN A


    Tulis lima ayat yang lengkap tentang gambar di bawah.


    Langkah 1 : Memahami dan meneliti gambar.
    • Teliti dan cari maklumat yang terdapat dalam gambar.
    • Rangka idea seperti siapa/aktiviti/lokasi/alatan/mengapa.


    Langkah 2 : Baca dan cari kunci soalan
    • Baca keseluruhan soalan dan cari kunci soalan.
    • Kunci soalan bagi contoh di atas ialah “tentang”. Ini bermakna murid boleh menulis sahaja maklumat yang terdapat dalam gambar.


    Langkah 3 : Bina rangka ayat


    Contoh ;

    1. lelaki – sabit rumput  panjang
    2. Ali – buang sampah – lubang
    3. seorang perempuan – gali lubang – guna cangkul
    4. seorang lelaki – bersihkan sungai
    5. Pak Cik Daud – menolak – kereta sorong.

    Langkah 4 : Bina lima ayat lengkap
    1. Seorang lelaki sedang menyabit rumput yang panjang.
    2. Ali membuang sampah ke dalam lubang.
    3. Seorang permpuan menggali lubang dengan menggunakan sebatang cangkul.
    4. Seorang lelaki membersihkan sungai yang dipenuhi dengan sampah- sarap.
    5. Pak Cik Daud menolak kereta sorong untuk membuang sampah.


    Langkah 5 : Membuat semakan
    • Selepas menulis jawapan,semak struktur ayat,penggunaan perkataan,tanda baca,imbuhan dan ejaan.
    • Pastikan ayat yang dibina berkaitan dengan gambar


    PANDUAN MENJAWAB BAHAGIAN C


    Hari ini cikgu berikan langkah-langkah untuk menjawab soalan Bahagian C

    Soalan perbincangan
    Tulis lima pengajaran yang dapat kamu peroleh daripada petikan di bawah. Panjang jawapan kamu mestilah tidak lebih 50 patah perkataan. Jawapan hendaklah ditulis dalam satu perenggan. 
               Ketika pertama kali menjejakkan kakinya ke ibu kota,Marwan 'seperti rusa masuk kampung'. Bukan keinginannya untuk berhijrah. Marwan hidup sebatang kara. Dia yatim piatu dan tiada tempat untuk mengadu. Dia sudah malu untuk mengharapkan belas ehsan orang lain.
              Untuk mencari sesuap nasi, Marwan bekerja di sebuah restoran. Dia terpaksa bekerja sepanjang hari. Berkat kerajinannya, dia berjaya mengumpulkan sejumlah wang. Berbekalkan wang itu, dia mengusahakan gerai nasi lemak.
             Usaha yang berterusan di tambah pula dengan sikapnya yang peramah, perniagaan nasi lemaknya semakin maju dan mendapat sambutan. Marwan tidak suka membazir. Dia bercita-cita untuk membuka sebuah restoran.
             Impiannya telah menjadi kenyataan. Daripada menjual nasi lemak secara kecil-kecilan kini dia berjaya membuka sebuah restoran yang menjual pelbagai jenis makanan. Dia berazam untuk membuka cawangan restorannya di seluruh negara.

    Langkah1: Baca dan fahami soalan

    • Baca keseluruhan soalan dan cari kunci soalan.
    • Kunci soalan terdiri daripada nilai murni atau pengajaran atau amalan baik.
    • Berdasarkan soalan di atas, kunci soalan ialah pengajaran.


    Langkah 2 : Baca dan fahami petikan

    • Baca petikan dengan teliti dan fahami kandungannya.
    • Semasa membaca,kenal pasti dan garisi pengajaran yang terdapat dalam petikan.
    • Senaraikan pengajaran yang dikesan.
    Contoh :

    NILAI
    HURAIAN
    Berani
    Berhijrah ke ibu kota untuk mencari rezeki.
    Berdikari
    Tanpa bergantung kepada orang lain.
    Tekun
    Bekerja sepanjang hari
    Berbudi bahasa
    Ramah melayan pelanggan
    Berjimat cermat
    Tidak suka membazir


    Langkah 3 : Membuat rangka ulasan

    • Membuat rangka ulasan agar mudah membuat teks ulasan.
    • Jawapan kepada rangka ulasan boleh dijadikan teks ulasan

    Langkah 4 : Membuat ulasan

    • Buat ulasan berdasarkan rangka ulasan.
    • Pilih lima pengajaran sahaja untuk membuat ulasan.
    • Ulasan murid mestilah melebihi 50 patah perkataan kerana kehendak soalan ialah tidak kurang 50 patah perkataan.

    Langkah 5 : Menyemak

    • Selepas menulis jawapan, semak struktur ayat,penggunaan perkataan,tanda baca,imbuhan dan ejaan.
    • Pastikan ulasan yang dibina berkaitan dengan petikan.